Saya adalah saya.Segala lontaran kata dan cerita datangnya tanpa ada rasa belas pada pihak yang dicela.







05 November 2011

Surat untuk Encik RapidKL

Encik RapidKL,
Saya suka menaiki perkhidmatan yang syarikat encik tawarkan. Memandangkan ia pelbagai jenis dan destinasi, saya suka. Kerana saya adalah individu yang sering bergerak ke sana sini dengan pengangkutan awam dan benci akan kesesakan lalu lintas yang melampau - lampau di Kuala Lumpur ini.

Encik RapidKL,
Saya suka dengan servis yang syarikat encik tawarkan. Memandangkan saya adalah individu yang bergerak ke sana sini dengan pengangkutan awam (ulang ayat di atas), saya perlu lebih pantas daripada biasa. Kerana kelajuan kaki saya tidak sehebat kelajuan motosikal atau kereta yang tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya. Ya, saya akui saya sangat suka menggunakan Touch N Go. Pantas dan tidak perlu beratur panjang.

Encik RapidKL,
Saya sangat suka bila sudah ada perkhidmatan Touch N Go di mana - mana. Bas dan segala jenis LRT menggunakan Touch N Go. Saya suka dengan Touch N Go. Hebat sungguh encik kerana berjaya mengeluarkan satu produk perkhidmatan yang menyenangkan pelanggan. Saya suka. Suka sangat.

TAPI Encik RapidKL,

Saya tidak suka bila saya perlu bergerak dengan pantas, tren dan bas selalu tergendala. Selalu lambat dan selalu membuatkan semua pelanggan - pelanggan setia beratur panjang. Oh ya, saya suka untuk bercerita mengenai Putra LRT milik Encik RapidKL yang bergerabak - gerabak itu. Encik tahu tak, saban pagi saya mengharapkan perjalanan yang lancar kerana saya tahu kalau saya membawa kenderaan ke tempat kerja, saya akan mengamuk di dalam kereta. Oleh itu, saya suka naik Putra LRT sebab ia pantas dan saya tidak perlu risaukan kesesakan jalan raya.

Encik RapidKL,
Encik tahu tak, bila sistem LRT encik tergendala secara tiba - tiba, ia menyebabkan ratusan  pelanggan encik menyumpah seranah perkhidmatan yang encik tawarkan termasuklah saya. Bohonglah kalau saya tidak pernah berkata "Bingai punya Rapid". Ya, saya memang ada berkata begitu kerana saya rasa tertipu dengan perkhidmatan pantas yang encik tawarkan. Perkhidmatan itu menjadi lembap selembap lembapnya.  Kapasiti yang perlu dibawa adalah sangat maksima (baca: "sangat" adalah darjah ketertinggian, "maksima" juga menunjukkan setinggi - tingginya jumlah, maka, sangat maksima membawa erti banyak yang sangat banyak melampau) atau dalam bahasa inggerisnya, OVERLOAD.

Encik RapidKL,
Encik tahu tak yang perkhidmatan yang encik tawarkan ini suka sangat tergendala ikut suka hati? Tiba - tiba sahaja mahu lambat, mahu berhenti di tengah - tengah rel, dan yang maha hebat berhenti di setiap stesen untuk tempoh masa 15 hingga 20 minit. Encik tahu tak  ramai orang yang benci dengan suara ini "Harap maaf. Sistem kami sedang mengalami gangguan perkhidmatan. Terima kasih". Encik tahu sejauh mana saya mengharapkan perjalanan yang lancar menerusi perkhidmatan itu? Encik harus tahu, sekali perkhidmatan yang encik tawarkan itu tergendala, semua orang susah, semua janji manis yang syarikat letakkan; orang tidak akan percaya dan yang maha parah, semua orang akan bertambah jelek dengan kemampuan RapidKL yang dikenali ramai itu.

Encik RapidKL,
Saya tahu encik sudah menyediakan perkhidmatan kad myRapid yang baru, maka dengan itu saya ingin bertanya wahai encik RapidKL, apa rasional di sebalik kad itu dibuat dan perbezaannya dengan kad Rabbit yang ada? Dan apa kurangnya dengan kad Touch N Go yang sudah lama menjengah pasaran? Lagi, tinggi sungguh keyakinan encik dengan masyarakat kita yang memang suka beratur panjang-panjang untuk membeli kad berbayar. Saya tak tahu kenapa golongan - golongan encik ini suka sangat buat kad banyak - banyak. Kad Rabbit tak boleh guna untuk LRT kah? Atau kad Touch N Go tak boleh guna untuk LRT atau bas? Atau kat myRapid itu jauh lebih baik daripada kedua - duanya? Atau sememangnya Encik hendak membanyakkan lagi kad - kad untuk pengangkutan awam yang sudah sedia banyak? Alahai encik oii.

Encik RapidKL,
Saya mencadangkan yang encik tingkatkan dahulu servis LRT dan bas sedia ada. Untuk LRT 3 minit untuk setiap tren, untuk bas setiap 15 minit, barulah masyarakat kita percaya yang perkhidmatan Encik RapidKL sudah bertambah baik dan tak sia - sia untuk membeli segala jenis kad yang ada. Untuk apa perbanyakkan kad yang nampaknya seakan menambah baik servis sekiranya pengguna perlu menunggu lama untuk setiap pengangkutan yang ingin dinaiki. Nampak? Atau kurang jelas?

Saya harap encik RapidKL baca surat saya. Terima kasih.