Saya adalah saya.Segala lontaran kata dan cerita datangnya tanpa ada rasa belas pada pihak yang dicela.







01 September 2011

Hantu Bonceng Menghantui Pawagam dengan Jenaka Hebat!


Asalnya mahu berlumba haram dan menikmati keseronokan dengan bohsia yang ditaruhkan, akhirnya bertukar menjadi tragedi yang menghantui diri. Itulah intipati mudah yang dapat dilihat dalam keseluruhan penceritaan Hantu Bonceng, karya produser yang terkenal dengan filem mat rempit sebelum ini, Adnan Sempit.

Jalan ceritanya mudah difahami, digarap pula dengan dialog-dialog yang santai. Tambahan pula, filem ini dibintangi oleh Zizan Raja Lawak (Amran), sudah pasti semua orang akan teringat bagaimana karakter Abang Long Dil [KL Gangster] dan Mael Lambung[Maharaja Lawak] menjadi popular kerananya. Gerak laku dan memek muka yang bersahaja oleh Zizan menjadikan karakternya dalam Hantu Bonceng menjadi!

Turut membintangi filem ini ialah Tai (Kunyit), Jue Aziz (Halimaton), Dottie (Mariam) dan Juliana Evans (Maya & Ayu). Kunyit yang menjadi sahabat kepada Amran memainkan peranannya dengan cukup baik apabila bijak mempamerkan watak kelakar dan sedih dalam babak-babak yang tertentu. Kekalutan dan keresahan yang ditunjukkan sewaktu Amran beralih kasih kepada Maya dan kesedihannya apabila putus cinta dengan wanita kesayangannya dipaparkan dengan cukup baik. Tahniah diucapkan.

Zizan yang memegang sebagai watak utama sebagai Amran turut mempamerkan showmanshipnya yang memang tidak dapat disangkal lagi, apabila berjaya menjadi mat rempit, mat rempit yang insaf dan pelawak dalam satu masa. Manakala watak Jue Aziz sebagai Halimaton, walaupun kelihatannya seperti baru pertama kali menjadi kekasih pada Amran dalan Hantu Bonceng, kelihatan tidak menghampakan apabila mampu menjadi seorang yang manja, garang dan empati pada kekasih walaupun Amran seringkali membelakanginya. Itulah namanya sayang!

Elemen seram yang cuba untuk ditonjolkan berjaya diseimbangi dengan elemen lawak yang memikat hati. Masyarakat kita yang biasa dimomokkan dengan watak hantu yang kelihatan menakutkan telah berjaya ditepis dalam Hantu Bonceng. Ya, seram kelakarnya menjadi. Hinggakan kanak - kanak yang menonton bersama-sama dengan saya dalam panggung wayang turut bertepuk tangan dan berkata pada abahnya "Best la, abah. Kelakar!" Ternyata, kesemua watak yang membintangi Hantu Bonceng telah berjaya menceriakan suasana raya kedua ini.

Syabas pada Ahmad Idham dan semua krew yang terlibat dalam Hantu Bonceng. Buat semua pelakon, tahniah. Anda telah membuat yang terbaik. Hantu Bonceng sangat menghiburkan dan tidak menghampakan sesiapa sahaja yang menontonnya. 10 bintang saya berikan! :)