Saya menjengah masyarakat sekeliling, semalam. Oh, bukan. Dua hari lepas. Melihat sendiri bagaimana sebuah acara berlangsung. Melihat bagaimana orang - orang berkemampuan memberikan bantuan pada mereka yang tidak berkemampuan. Bukan hal itu yang mahu saya ceritakan. Sebaliknya. Fokus adalah pada orang - orang yang tidak berkemampuan tetapi dilihat mampu cuma tak tahulah bahagian mana atau pencirian yang bagaimana yang menunjukkan ketidakmampuan itu.
Saya menjengah masyarakat yang tidak mampu. Sekali lagi ditekankan. Tidak mampu. Tapi, mereka bukanlah fakir, bukanlah juga pacal yang hina, namun, ada antara mereka yang menjadi punca mengapa aku sangat pesimis pada mereka. Sangat pesimis dengan penglihatan yang tidak gemar dilihat pada mata seorang manusia yang sudah biasa hidup sederhana.
Mari saya timbulkan beberapa persoalan dan pertikaian yang saya tidak dapat jawab pada pertimbangan akal. Saya menjengah kawasan perumahan tinggi [baca : flat], saya tidak mahu kawasan perumahan tinggi diibaratkan seperti PPR. Nampak seperti perumahan bertaraf sangat rendah. Tidak. Kawasan perumahan tinggi ini, cantik. Bangunannya bercat bersih. Cat mahal barangkali. Namun, inilah yang ingin saya pertikaikan.
Mayarakat kita yang akhir - akhir ini dikhabarkan semakin kurang mampu dengan segala macam perkara termasuklah hal kewangan yang semakin bertambah nilainya, isu harga barangan yang tidak akan berkesudahan, harga itu, harga ini dan macam - macam harga lagi. Lantas saya tertanya - tanya. Apakah dengan segala macam kenaikan harga yang berlaku kahir - akhir memungkinkan masyarakat kita yang tinggal di kawasan perumahan tinggi untuk menikmati segala macam kemudahan yang bertaraf 4 bintang? Oh, di rumah mereka ada ASTRO, ada kereta - kereta mahal diparkir di mana - mana, di celah - celah parkir agak sukar untuk menemui kereta 10 - 15 tahun usianya.
Saya jangkakan, anak - anak yang berpeleseran di bawah kawasan perumahan tinggi adalah anak - anak milik ibu bapa yang ramai bilangan anaknya. Hinggakan anak - anak mereka berasa bosan untuk menetap di rumah yang sempit itu. Oh ya, saya tidak faham mengapa mereka mahu menginap di kawasan perumahan tinggi sedangkan mereka mampu untuk berpiring UFO dan berkereta mewah. Jadi hari ini aku tahu bahawa orang yang berkemampuan pun mampu untuk tinggal di kawasan perumahan tinggi kerana kosnya lebih murah dan 'mungkin' akan ada lebihan wang untuk membeli lain - lain barang yang berasaskan kehendak.
Lantas aku juga tertanya - tanya lagi. Kenapa masyarakat kita masih juga mempertikai dan mengamuk sakan bila wang yang semakin susut nilainya itu digunakan untuk menambah segala jenis kehendak yang tidak diperlukan atau boleh dikurangkan sekiranya perlu. Ya, memang perlu. Supaya jelas, mereka yang kurang mampu, yang terselit dalam kalangan mereka yang mampu akan dapat dilihat dengan jelas. Supaya mereka tidak akan tergolong dalam kategori mampu sedangkan mereka tidak mampu. Ah, aku sudah mula merapu.
Berilah hak pada mereka yang memerlukan. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Terima kasih.